Rabu, 26 Oktober 2011

APA ITU KITAR SEMULA?

APA ITU KITAR SEMULA?
Proses memperolehi atau menjadikan sebahagian atau  semua bahan daripada sampah untuk diguna semula.


BAGAIMANA?
a) Pemungutan Sampah :
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengasingkan sampah-sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula. Pemungut sampah akan tahu apa yang akan dilakukan seterusnya.

b) Pusat Pengumpulan / Pusat kitar semula :
Cara paling mudah untuk melaksanakan kitar semula ini adalah dengan hanya menghantar barangan yang dikumpulkan untuk kitar semula ke pusat kitar semula yang terdapat di seluruh negara. Proses yang lain akan dijalankan oleh pihak-pihak tertentu.


KENAPA?
a) Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
- Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

b) Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
- Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

c) Kitar semula untuk menjimatkan kos
- Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.


d) Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
- Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk industri pengeluaran yang lain.

e) Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
- Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

f) Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
- Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.

APA YG BOLEH DIKITAR SEMULA?

a) Kertas (TONG BERWARNA BIRU)
 - Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.
 - Kertas berkualiti tinggi biasanya adalah kertas cetakan putih, kertas komputer putih, kertas alatulis pejabat putih dan kertas nota putih.
 - Kertas campuran pula termasuklah semua kertas yang terhasil dari pejabat termasuklah yang berwarna putih dan juga warna-warna lain seperti suratkhabar, fail, sampul surat dan buku. Kertas ini dikategorikan sebagai kertas yang mempunyai kualiti yang rendah dan biasanya mempunyai harga pasaran yang agak rendah.
- Kertas licin, pita dan sampul surat yang mempunyai plastik biasanya tidak dibeli oleh pembeli. Harga yang mahal biasanya mempunyai bahan campuran yang kurang membawa kepada pencemaran.

b) Kaca (TONG BERWARNA COKLAT)
- Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.
- Kebanyakan pembeli mengkehendaki segala kaca yang dikumpulkan diasingkan mengikut warna (warna jernih, hijau dan coklat) sebelum diangkut tetapi ada sesetengah yang menerima kaca yang bercampur
aduk.
- Biasanya kaca yang pecah dan kertas label juga boleh diterima. Kebanyakan pembeli inginkan gelas-gelas yang telah dibersihkan dan bebas dari kotoran contohnya tudung-tudung botol, seramik, batu dan mentol lampu.

c) Plastik (TONG BERWARNA JINGGA)
- Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula.
- Kitar Semula plastik adalah industri yang masih baru dan dijangka berkembang selari dengan kemajuan teknologi. Proses kitar semula plastik untuk dijadikan bahan baru yang lebih baik mestilah dilakukan dengan langkah pengasingan plastik mengikut jenis terlebih dahulu.
- Cebisan-cebisan plastik yang selalunya di kitar semula digunakan di dalam botol soda dan juga bekas pengisi susu.

d) Logam (TONG BERWARNA JINGGA)
- Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula.
- Aluminium dan tin minuman , foil aluminium dan bahan logam lain adalah sedia untuk dikitar semula. Sesetengah bahan logam seperti timah dan aluminium mempunyai harga pasaran yang tinggi.
- Pengumpulan bahan logam tersebut adalah bergantung kepada jenis logam dan keadaan pasaran tempatan.

KE MENU UTAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan